Tuesday 1 December 2015

Menjentik Hati

[2 minit untuk selawat dan sedekah al-fatihah untuk semua saudara seislam kita]
*mohon , nak pinjam 2 minit je..

Cerita Seorang Sahabat yang menjentik hati yang aku copy_paste dari whatsapp....
Semoga dapat jentik hati kita semua juga...

Cerita Seorang Sahabat.

#Catatan hati


Aku menangis.Teresak-esak.

Semalam aku dengar kuliah,
Ustaz tu cerita tentang zina yang berlaku pada ambang hari merdeka hari tu.

Ustaz tu kata lagi, ketika penguatkuasa jabatan agama Islam datang ke sebuah bilik hotel tersebut,si lelaki masih tidak berbaju.
Manakala si perempuan menangis di dalam tandas.
Apabila hendak membawa dua orang tersebut ke balai,
Ustaz tersebut menyuruh mereka mengenakan pakaian mereka.

Si lelaki pergi ke almari,
Ambil jubah putih yg masih tersangkut cermat.
Sambil mengenakan serban.

Si perempuan pula memakai jubah hitam & menyarungkan tudung labuh. & dikatakan kedua-duanya merupakan penghafaz Al-Quran. Lagi beberapa bulan lagi dah nk habis 30 juzuk Al-Quran.

Saat aku mendengar apa yg diceritakan ustaz,
Hatiku jadi sebak.
Hingga aku tertunduk memandang kaki.

Antara marah kerana imej agama yang mulia diperlakukan sebegitu,
& sedih mengenangkan orang yang  berilmu, dan orang  yang membawa imej Islam juga tak mampu mengawal nafsu & tidak mengaplikasikan ilmunya ke arah kebaikan lalu menjadi fitnah ke atas agama. 'Sepatutnya pakaian ini menjadi perisai kita dari melakukan maksiat. Orang yang pakai jubah dan kopiah, dia akan rasa malu untuk buat maksiat. Orang yang tudung labuh, akan rasa malu nak buat maksiat. Tapi, andai pakaian tak mampu menjadi perisai, maka malulah dengan Allah... ' .

Aku terfikir.
Apakah yang ada di dalam fikiran mereka saat mereka bertekad untuk melakukan dosa tersebut? .

Apa mereka tidak ingat tentang azab Allah pada penzina? Atau mereka terlupa tentang cctv pengawasan Allah yang on 24/7 ?

Point aku cerita dekat sini bukan sebab nak burukkan orang2 yang bawa imej Islam.

Sebab kalau nk cerita pasal orang yang biasa-biasa, memang berlambak-lambak kes yang berlaku pada zaman ini. Nauzubillah min zalik.

Aku nak  tegaskan dekat sini,
Wahai orang2 yang berada pada jalan Allah ini,
Tolong tajdid niat.
Jaga hati.

Islam tu satu cara hidup yang merangkumi pelbagai aspek.
Bukan sekerat-kerat.
Kita tak boleh pisahkan pakaian kita, dengan perbuatan2 kita yang lain.

Kalau kita mengaku kita ni orang yang membawa imej islam,
Tolong.
Bawa juga Islam tu dalam cara kita bergaul, bercakap,& sebagainya.

(sambungan previous post)
Saya banyak berfikir selepas mendengar cerita tersebut.

Tersentak dan tersedar.
Ilmu agama yang tinggi tak menjamin apa-apa sekiranya tidak disertakan dengan keimanan yang mantap dan daya tahan diri yang tinggi terhadap godaan syaitan dan hawa nafsu.

Saya sebenarnya jarang dengar cerita-cerita benar sebegini.
Tapi sempat saya lihat salah satu comments di post saya yang lepas, ' Tidak dinafikan, pernah berlaku depan mata sendiri. Yang paling sadis bila parents terus menerus membiarkan anak-anak menjadi fitnah.' .

Allahu. Fitnah? Ya, fitnah ke atas agama.

Orang-orang jadi tak respect golongan yang bertudung labuh berkopiah berserban bila wujudnya golongan yang bawa imej islam, tapi tak praktikkan dalam kehidupan.
Bak kata pepatah, kerana nila setitik,rosak susu sebelanga.

Kerana tiga empat orang buat macam ni, habis orang-orang yang tak berdosa lain terpalit kotoran yang sama. Masyaallah.

Sahabat yang dikasihi,
Setiap kali kita tergerak buat dosa kan.
Pegang kain tudung labuh kita tu,
Pegang serban putih kita tu,
Renung ia sambil menangis mengingatkan amanat yang Allah bagi untuk jaga nama baik Islam,
Agar kita tak jadi nak buat dosa tersebut.
Agar kita menyesal dan insaf tentang kelekaan kita membiarkan diri dihanyutkan dengan nafsu duniawi.

Ingat sahabat,
Islam itu tak boleh dibawa berasingan.
Sebab Islam tu cara hidup dalam semua aspek.

Hatta cara makan, cara tidur, cara bergaul, cara belajar, cara menulis semuanya berlandaskan dengan paksi keimanan dan syariat Islam.

Jangan sesekali ingat,
Aku dah pakai tudung labuh ni,
Ah dah ok lah ni. Dah ikut cara Islam dah ni.
Sedangkan kita masih bertepuk tampar dengan lelaki secara selamba.
Still keluar berdua-duaan.

Ingat,
Orang-orang islam yang beriman pasti diuji ! .

Ujian melawan hawa nafsu.
Ujian untuk diklasifikasikan sebagai 'tak up to date' sebab jaga syariat Islam.
Tapi ketahuilah,
Ujian itu yg mendidik kita.
Ujian itu juga sebagai examination to Jannah

****tamat****

Berpakaian mengikut syariat Islam tak melambangkan tahap keimanan ...
Tapi , orang yang beriman , pasti akan berpakaian mengikut syariat ...
Dan pakaian tersebut dapat menyedarkan kita , yang kita sedang membawa amanat besar dari Allah .. <3

H A W K A D

Hye there ! Looking for something to read on your leisure ? Here , i've got something for you.. 

So! Tajuk entry kali ini , HAWKAD ..apa tu? Haa ! Cuba terbalikkan .. jadi apa ?


Babe ! Have you ever heard about something that we called 'dakwah'  ? 

Yes? 

No?

Jaa ! Let's start.. 

Dakwah atau nama lainnya 'mengajak untuk melakukan kebaikan' ..
See?
Perkara yang mudah dan pada masa yang sama ia nya sangat SUKAR ..

Berdakwah ni bukan untuk orang yang sentiasa perfect sahaja,
Bukan untuk mereka yang dijamin syurga sahaja ,
Bukan untuk orang yang bebas dosa sahaja,
Bukan untuk golongan kaya sahaja ,
Bukan untuk orang lulusan universiti sahaja,
Bukan untuk ustaz dan ustazah sahaja,
Bukan untuk orang cerdik sahaja,
 Ianya untuk semua orang yang nak kan syurga !
  (Chop! Aku nak!)

"Kau nk berdakwah , tapi diri sendiri entah pape!"
"Alaaa , kau jangan nak bajet alim lah ! Kau '2 kali 5' je dengan aku"
"Wooo , kau pandai cakap je ! Tapi dosa kau keliling pinggang tak sedar"

Fuhhh ! Tu adalah contoh2 dugaan besar bila nak berdakwah ! 

Hmm , perlu diingat orang yg berdakwah tu , mereka juga manusia , sama seperti kita, mereka juga pendosa , sama jua dengan kita, kadang-kadang mereka lupa untuk amalkan apa yang mereka dakwahkan , tapi bukan kerja kita untuk menilai mereka....

Sekurang-kurangnya , mereka tak berjalan ke arah syurga sorang-sorang , mereka ajak orang lain juga...

Syarat penting untuk berdakwah adalah 'IKHLAS' ..  
Bukan untuk menunjuk-nunjuk kita baik ,
Bukan untuk memerli mereka yang kurang ilmu,
Bukan kerana inginkan kemahsyuran .
Tapi 'kerana Allah azza wajalla' ,

Dan salah satu cara untuk berdakwah agar pahala dakwah kita sentiasa mengalir masuk walaupun selepas kita mati adalah melalui PENULISAN ..
"Dakwat yang pudar itu lebih baik dari ingatan yang tajam"

Sebelum ni aku betul-betul tak faham maksud ungkapan tu ..
Tapi bila aku fikirkan dan akhirnya aku buat kesimpulan sendiri ..

Okay analogi nya macam ni ,
2 orang lelaki perlu mengkaji satu formula untuk buat ubat Poiuytre (nama ubat ni aku reka je , hihi) . Sepanjang kajian si A sentiasa membuat catatan tentang setiap penemuan terbaharunya sehingga dakwat pen nya hampir habis... Si B pula sekadar mengingatinya dalam kepala (orang bijak lah katakan) ... akhirnya , suatu hari kedua-duanya berjaya menemui formula untuk buat ubat Poiuytre dan seperti biasa si A mencatat formula yang ditemui nya dalam buku catatannya walaupun tulisannya sudah pudar dek dakwat nya dah nak habis , dan si B , hanya mengingatinya dalam kepala..... dan mereka pulang ke tanah air untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka untuk buat ubat poiuytre ..nak dijadikan cerita dalam perjalanan pulang kedua-dua nya terlibat dalam kemalangan dan mati ditempat kejadian...

Dan apa yang berlaku? ... usaha si B dalam mencari formula ubat poiuytre berakhir dengan sia-sia tanpa sempat diaplikasikan ...
Tetapi , usaha si A tidak sia-sia , kerana saintis lain telah menemui buku catatan si A yang tertulis segala penemuan formula untuk membuat ubat poiuytre ...dan dari situ ubat poiuytre dapat dihasilkan walaupun si A telah meninggal dunia ...

Kesimpulannya , dakwat yang pudar itu lebih baik dari ingatan yang tajam.

Jadi ! Berbalik pada tajuk kita , apa tadi ? , haa! Dakwah! ...

Oleh itu lah ! Terbukti yang penulisan membantu kita untuk berdakwah walaupun setelah kita meninggal dunia ...

Dan ajaib nya , bila kita dakwah contohnya dalam facebook , kita buat status untuk motivasikan orang lain , kita buat status-status yang mengajak kearah kebaikan , dan status yang baik-baik ,,, dan bila kita rasa down , rasa tak bersemangat , ataupun rasa jauh dari Tuhan dan bila kita baca balik benda yang kita dakwahkan tu , bila kita scroll balik status-status kita , kita akan rasa ter'motivasi' dengan ayat-ayat kita sendiri , dan ayat-ayat kita yang kita guna untuk dakwah orang lain dahulu tu lah yang akan mendakwah kita semula untuk kembali sedar dan kembali ke jalan yang sepatutnya .. itu yang ajaibnya bila kita letak ikhlas dalam setiap dakwah yang kita bawa ~.''

Jangan pernah rasa putus asa, 
Bila mereka sering menghina ,
Kerana yang menilai itu Dia ,
Bukannya manusia,..


Namun perlu beringat !
Beramal tanpa ilmu itu sia-sia ,
Berilmu tapi tidak beramal itu tidak berguna ..

"Bila fikir dosa sendiri yang terlalu banyak , ditambah pula dengan kata-kata dari mereka yang 'mematahkan semangat' ,kadang terbit rasa tidak layak untuk 'mengajak kearah kebaikan' , tapi perlu diingat , sekurang-kurangnya , jika ada seketul hati yang terjentik dek penulisan kerdil ini , semoga Tuhan sudi memberi pahala dimahsyar kelak" , ini lah kata-kata sahabatku yang aku jadikan sebagai iktibar untuk masa hadapan.. dan aku titipkan untuk kamu semua , agar menjadi penyuntik semangat untuk sesiapa yang memerlukan. 


[Penulis yang pendosa , benar-benar pendosa]
<3


Wednesday 18 November 2015

Rindu


Rindu

'Semoga tenang disana'
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan ambilah masa sekejap untuk sedekahkan al-fatihah kepada saudara seislam kita yang telah pun pergi menemui pencipta-Nya... {al-fatihah}

Bingkisan kerdil ini ditujukan kepada saudara-saudara seakidah ku yang ibu atau bapa mereka telah pun pergi menghadap Ilahi , serta kepada adik beradik ku , dan juga kepada diriku yang sering lupa untuk ingatan masa hadapan kelak.

'Sabarlah , Allah lebih sayangkan mereka'
Seringkali kita dengar ucapan itu dari mulut sahabat-sahabat atau sesiapa sahaja yang simpati terhadap nasib kita ,kan?
Mudah untuk berkata sabar namun mereka tak pernah tahu perasaan kehilangan sesuatu yang berharga. Tapi tak boleh salahkan mereka , mereka pun tak boleh buat apa , hanya Allah yang berkuasa , luahkan pada-Nya kerana Dia maha mengerti segalanya..

Bila rindu datang cengkam hati, kita tak tau nak buat apa. Sedih. Kecewa. Perkara biasa. Bila sedih kita kirimkan doa dan pahala , dan pada masa yang sama hati jadi lebih tenang.

Tapi , macam mana bila kita sudah mula lupa tentang mereka disana?
Suatu saat bila Allah kembalikan senyum diwajah kita , kita lupa untuk doa dan kirimkan pahala pada mereka.
Kadang-kadang sifat malas datang macam hari-hari biasa. Malas nak baca al-quran. Pahala yang kita kirim pun dah makin kurang. 

Sebab kita lalai. Kita lupa yang mereka dah tak boleh kutip pahala sendiri , kita lupa yang mereka hanya minta dan harapkan pahala dari kita, anaknya.
Kita lupa yang dahulu , bila kita tak boleh jalan , mereka yang angkat &dukung kemana-mana kita nak pergi.
Kita lupa yang dahulu , kita tak pandai makan , mereka yang tolong kunyahkan.
Kita lupa yang dahulu , bila kita tak pandai cari duit sendiri , mereka yang tanggung dan sara kita.
Tapi kenapa bila mereka dah tak boleh cari pahala sendiri kita tak tolong mereka dengan kirimkan pahala?
Kenapa bila mereka dah tak boleh berdoa, kita tak bantu mereka berdoa untuk raih keampunan dari Allah?

Kita sering lupa kerana kita dah boleh senyum macam dulu.

Ingat lah , pegang kuat-kuat dalam hati , mereka dah tak nak mintak apa-apa selain doa dan kiriman pahala untuk mereka. Mereka nak kita yang jadi asbab untuk mereka ke syurga-Nya. Mereka nak tengok hasil didikan mereka ni , menjadi ahli syurga yang dekat dengan Allah. Walaupun kita tak mampu berjaya didunia , mereka nak tengok kita berjaya di akhirat.

Mereka dah banyak berbakti untuk kita ,
Sudah tiba masanya untuk kita balas jasa mereka walaupun mereka dah tak ada kat dunia kita masih boleh membalasnya . Walaupun usaha untuk membalas budi mereka tidak akan sampai kemana kerana jasa mereka tidak terhitung banyaknya , namun kita harus tetap cuba dan cuba..
*perbanyakkan sedekah dan niatkan pahala untuk mereka.
*doakan keampunan untuk mereka
*kirimkan pahala bacaan al-quran untuk mereka setiap hari
*apabila kita berpenat lelah dalam mengejar ilmu , niatkan sekali pahala untuk mereka , kerana tanpa mereka kita tidak akan kenal apa itu 'ilmu'
*apabila berbuat baik dalam dunia ini , niatkan pahala untuk mereka kerana mereka yang mengajar kita untuk menjadi baik 'pada dunia'
*berbuat baik dengan kawan-kawan arwah ibu atau bapa
*dan banyak lagi

Kepada yang masih dikurniakan nikmat agung iaitu ibu dan bapa dalam hidupnya , berbakti lah kepada mereka , kadang kita terlupa tugas kita untuk membahagiakan mereka , namun itu tidak menjadi alasan untuk terus lupa dan lupa...

Dalam hidup ini , Allah telah kurniakan aku seorang ayah yang terbaik dahulu , namun aku tidak mengambil berat dalam berbakti kepadanya sehingga Allah tarik 'nikmat agung' itu kembali . aku belum sempat menghadiahkan kejayaanku padanya dan dia telah pun pergi selamanya.... dan itu bukan alasan untuk aku tidak berusaha mengapai kejayaan diakhirat dan didunia .
Because,
I know that he will always  be there , cheering for me when I am a champion , support me and encourage me when I am down ,even I will never see him again , I know he will always be with me like his name will always be there ,, after my name...

And now I am trying to make my mum smile as I know my dad will smile when he sees mum's smile....


_jaga diri,jaga iman, jaga hati_
 <3

From : me
To : you & future me


         

Friday 16 October 2015

Matahari vs Wanita

  
          ''Sang Matahari''

Wahai sang matahari,
Aku begitu kagum denganmu,
Walau beribu kali ribut datang bertamu,
Namun engkau tidak jemu-jemu,
Untuk terbit kembali dan menyebarkan sinarmu,
Mengembalikan senyum diwajahku,
Turut mencerahkan hari-hariku.

Duhai wanita,
Jadilah seperti matahari,
Yang hadirmu membawa senyuman dibibir,
Membawa ketenangan dihati,
Menyerikan hidup mereka yang berduka,
Dengan sikapmu yang mahmudah,
Bukannya mazmumah.

Wahai sang matahari,
Kenapa kamu tidak seperti bulan?,
Yang enak dipandang dimalam hari?,
Yang menjadi tatapan penduduk bumi?,
Namun,
Saat aku pandang matahari,
Yang aku dapat hanyalah sakit dimata ini,
Dek cahayamu yang begitu terang menyinari,
Dan aku hanya mampu tunduk kembali,
Tanpa dapat menatap wajahmu yang berseri.

Duhai wanita,
Contohilah matahari,
Yang dirinya bukan untuk tatapan lelaki ajnabi,
Malah memaksa mereka menundukkan pandangan,
Peliharalah aurat mu juga perhiasan yang ada padamu,
Kerana harga dirimu begitu mahal,
Dan kamu bukan 'boneka' untuk ditonton,
Tapi 'mawar berduri' yang harus dijaga rapi.

Wahai sang matahari,
Hadirmu membawa senyuman dibibir pohon-pohon dibumi,
Mereka menjerit 'terima kasih matahari!',
Atas cahayamu yang begitu bermanfaat ini,
Membantu pohon membuat makanan sendiri,
Melalui proses yang dipanggil 'fotosintesis'.

Duhai wanita,
Ikutilah resmi matahari,
Membantu sahabat yang berada disisi,
Bukan dengan cahaya yang menyinari,
Namun dengan ilmu yang bermanfaat,
Nasihat yang berguna,
Teguran yang bermakna buat mereka,
Bimbing mereka jika kamu mampu,
Namun jika kamu tidak mampu membawa mereka ke syurga,
Janganlah menjadi jambatan untuk mereka ke neraka.



Oh wanita sedunia !! Dengarlah jeritan kecil ini!!! Ikut lah resmi matahari, orang suka atau tidak, dia tetap bersinar  menyerikan seisi dunia... saat ribut datang membadai ,kita menangis mencari matahari... 
teguh lah berdiri walaupun kamu dah rebah berkali-kali. Ya , seperti matahari....




 Assalamualaikum, jaga diri ,jaga iman, jaga hati. <3





Thursday 3 September 2015

[cerpen] Cinta Si Sayap Kiri

'Tup' , televisyen dimatikan. Segera aku mengalihkan mata ke arah gerangan yang menutup siaran televisyen yang sedang asyik kutonton sebentar tadi. Membulat mata abah memandang kami adik beradik. Entah kenapa , mungkin tindak balas spontan oleh otakku memaksa aku berdiri dan terus berlari ke dalam bilik bersama-sama adik beradikku yang lain. Hormon adreanalin dirembes ke seluruh tubuh saat melihat wajah bengis abah. Gerun. Memang begitu , abah sangat pantang apabila melihat kami ralit menonton televisyen pada waktu maghrib. Namun , apabila abah pulang lewat dari bekerja , kami sempat lagi 'curi-curi' menonton televisyen tanpa pengetahuan abah walau telah dinasihati oleh abah berjuta kali.Kata abah , menonton televisyen pada waktu maghrib tidak elok kerana boleh membuat kita lalai dan mendorong kita untuk terus alpa dan lupa mengerjakan solat maghrib , tambahan pula waktu maghrib itu sangat singkat. Namun , kejahilan masih menguasai diri ku , nafsu untuk melayan siaran kegemaranku pada saat itu menutup dan mengaburi segala nasihat abah , dan akhirnya diri ini tewas dengan godaan nafsu dan terus alpa dengan duniawi sehingga hari tersebut aku terlepas menunaikan solat maghrib. Benar , masa tidak menunggu kita. Perasaan bersalah menjelma dikala aku teringatkan sebuah risalah yang aku baca dahulu ada mengatakan , sesetengah para ulama membuat andaian berdasarkan hadis-hadis , orang-orang yang meninggalkan solat fardu maghrib itu sama nilaian dengan dosa seperti ia berzina dengan ibunya atau anak perempuan bagi orang-orang lelaki ataupun berzina dengan bapa atau anak lelaki bagi orang-orang perempuan. Gerun , sungguh azab Allah itu amat pedih. Air mata berjuraian mengenangkan dosa-dosa lama dan penat lelah abah menarik aku berjalan di atas jalan yang lurus. Jalan diredai Allah , Tuhanku. Terima kasih abah kerana sering mendidik dengan kasih sayang tanpa kenal erti jemu, semoga kita sekeluarga dapat berkumpul di syurga-Nya kelak. Cinta abah setanding cinta ibu. Abah. Dia seorang lelaki yang hebat. Segarang-garang abah , dalam dirinya , ada sekebun sifat penyayang. Setegas-tegas abah , dalam dirinya ada segunung simpati buat anak-anak. Kadang-kadang dia buat tidak endah apabila anak-anaknya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran , walhal , jauh dilubuk hati , dia lah insan yang menangis bersyukur atas kejayaan yang digarap oleh anaknya. Kadang-kadang dia buat tidak ambil peduli tentang kebajikan anak-anak , namun di sunyi malam , dialah yang sibuk bertanya pada ibu , tentang anak-anak , bertanyakan segala keperluan anak-anak dan cuba sedaya upaya memerah keringat untuk memenuhi segala keperluan keluarga. Ya ! Dia lah ayah.

        'Pap' , nah! berakhir sudah riwayat seekor nyamuk yang galak menghisap darahku sejak tadi. Pagi datang lagi. Aku kalut mengemas buku untuk dibawa ke sekolah seperti biasa. Abah menghulur wang saku. Wang berganti tangan. Aku salami tangan abah , namun seperti biasa , hanya menyalami tangannya , tidak pula menciumnya sebagaimana aku mencium ibu setiap hari apabila hendak ke sekolah. Entah kenapa , mungkin malu menguasai diri , dek kerana aku tidak biasa menciumnya.Hanya di hari raya bibirku menyentuh pipinya. Jarang sekali. Sungguh rugi. Usai membaca ayat kursi , aku meneruskan langkah ke sekolah. Berjalan dan berjalan. Namun benakku ligat berlari memikirkan beribu hal. Tanpa sebab dan dalam sekelip mata , terlintas pesanan abah di benakku. Kata abah , walau dimana kamu berjalan , walau di mana kamu meneroka , lihatlah di sekelilingmu , ambillah ibrah(pengajaran) daripada apa yang dilihatmu. Aku mengambil masa seminit untuk mencerna kata-kata itu. Lalu aku terpandangkan sepohon rumput. Tertanya ku sendiri , jika benar apa yang dikatakan abah , apa ibrah yang dapat ku ambil daripada rumput? . Tanpa sedar , kaki sudah melangkah ke pekarangan sekolah. Persoalan tadi ku simpan kemas di dalam poket mindaku.

 ***

 'Kring' . Wah! Loceng yang ditunggu-tunggu sudah kedengaran. Pulang , itu sahaja yang menguasai mindaku sekarang. Setelah sampai di rumah , mataku dijamu oleh sebaris senyuman abah. Abah bersiap sedia untuk sambung berniaga , mungkin dia pulang untuk menunaikan solat zuhur. Sebelum pergi , dia berpesan kepadaku agar mencabut rumput yang tumbuh di sekeliling kawasan rumah , bimbang akan menjadi semak jikalau dibiarkan membesar.

 ***

 'dush' satu demi satu pohon rumput kucabut dari tanah. Peluh memercik , namun tidak mengapa , baik untuk kesihatan juga. Membuang toksin berbahaya. 'Alahai rumput ! Hari-hari kau tumbuh ya ?' . Aku bermonolog. 'ting!' sudah kutangkap pengajaran yang dapat kuambil daripada sepohon rumput. Merungkai segala persoalan pagi tadi. Rumput , daun hijaumu mengindahkan panorama , mewujudkan satu landskap yang tenang , namun apabila kamu tidak terurus , bimbang akan menjadi sarang si ular berbisa. Seperti wanita , menjadi hiasan dunia , namun , apabila tidak dipelihara , bersaranglah fitnah yang berbahaya di sekelilingnya . Rumput. Akarmu teguh mencengkam bumi , sangat sukar untuk roboh , walau angin ribut membadai tubuh. Wanita sedunia , jadilah seperti rumput , yang mempunyai asas yang kukuh , namun kita manusia , kita tiada akar , namun kita ada akal. Gunalah ia seadanya. Kukuhkan dirimu dengan iman , kerana iman itu asas kepada teguhnya insan. Rumput , benarlah , engkau tidak kenal erti lelah , selepas dicabut , tumbuh kembali. Tumbuh dan terus tumbuh. Tanpa mengharapkan budi orang , segalanya berdikari dan tidak pernah putus asa. Wanita jadilah seperti rumput , walau engkau disakiti , dihina , dicaci sekalipun , bangkitlah kerana Allah. Jika ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran , ambillah resmi rumput sebagai pedoman , yang tidak kenal erti lelah. Mungkin di matamu rumput tidak bernilai , namun di mataku , tanpa rumput yang mencengkam tanah , sudah pasti , hujan bakal menghakis tanah tanpa kita sedar. Rumput berjasa. Ambillah ibrah daripadanya , walau hanya sekadar rumput. Abah , benarlah katamu , di setiap apa yang kita lihat , pasti ada ibrah disebaliknya , jika kita berfikir , berfikir dan terus berfikir.

 ***

 Detik tidak membeku , saat tidak berhenti , waktu tidak berlari , namun masa tenang berjalan , berjalan dan terus berjalan. Matahari berganti bulan , siang berganti malam. Hari berganti bulan. Malam menjelma. Aku duduk di tepi jendela. Angin malam meniup lembut saat aku membuka jendela.Melihat bintang yang berkerlipan , memerhati awan yang indah tersusun , mengintai bulan di balik awan , ah !! Indahnya , membuat aku terpegun. Pohon nyuir melambai-lambai , dek angin yang bertiup perlahan , membawa pergi hati yang dilanda badai , keresahan jiwa diganti ketenangan. Sudah sebulan abah meninggalkan kami semua. Pergi ke mana ? Pergi ketempat asalnya , menemui Penciptanya. Sedih. Kecewa. Itu biasa , namun tidak harusku ratapi pemergiannya. Semoga dia tenang di sana. Yang hidup harus terus melangkah.Cinta akan bunga , bunga akan layu, cinta akan manusia , manusia akan mati , cinta akan Allah kekal selamanya , ya! Itulah cinta yang hakiki. Namun , sedih datang lagi. Apabila teringat akan si ayah. Abah , engkaulah sayap kiriku , tanpa mu , masihkah aku bisa terbang melayari lembaran hari seterusnya? Penat lelah abah , belum sempatku bayar, jasa abah belum sempatku balas , namun dia sudah pergi , pergi untuk selamanya. Dalam dingin malam, aku keluarkan buku catatan harian , buku puisi hati itu , kembaliku buka , dan perlahan-lahan , pena dan tangan berganding bersama mengukirkan kata-kata. Aku tidak sehebat penulis di luar sana , namun dengan karya sendiri , aku dapat meluahkan segala yang tidak dapat kuluah dari bicara.

 ***
  Semalam aku lemah ,
 Hari ini aku kuat dan gagah ,
 Esok mungkin akan kurebah ,
 Tuhanku ,
 Engkau kuatkan lah aku ,
 kirimkan semangat kepadaku , 
agar bisa ku tempuhi ujian-Mu 
, supaya nanti aku bias bertemu ,
 dengan berkat dan rahmat-Mu . 
 Hati , aku tahu engkau terluka ,
 aku tahu kau berusaha mengubatinya , 
 namun apakan daya ,
 aku hanya dapat melihat saja , 
 Jiwa ,
 melihat kamu telusuri ujian , 
 air mata menjadi peneman ,
 sabarlah jiwaku sayang ,
 moga nanti ada ganjaran.

 Aku hidup di dunia milik-Nya ,
 dunia yang hanya sementara ,
 dilengkapi manusia bermacam gaya , 
 dipenuhi iman yang pelbagai tahapnya ,
 diisi dengan nafsu yang pelbagai kerenahnya .
 Wahai sahabatku ,
 Umur itu hanyalah angka ,
 bukan penentu panjangnya usia , 
 sudah cukupkah bekalan pahala ? 
 untuk hidup senang di sana.
 Sedang aku duduk sendiri ,
 terbayang-bayang nasib diri , 
 kadang , tertanyaku sendiri , 
 nasib apa pula yang menanti. 
 Namun apakan daya , 
 telusuri sahaja dugaan yang menimpa , 
 diri ini jahil dan penuh hina , 
 diterimakah aku ke syurga-Nya ?

***

 'pap' , buku ditutup , mata sudah mengantuk , kepala sudah memanggil-manggil bantal untuk bersama. Berbaring di atas katil , mata ditutup , dalam hati tertanya sendiri , hari esok , adakah aku bisa melihat dunia seperti hari ini , atau hari esok , aku dapat berjumpa dengan abah di sana?. Mati itu pasti. Sudahkah kamu semua bersedia ?

Sunday 23 August 2015

coretan seorang cucu ..

Assalamualaikum dunia blogger.... Alhamdulillah , di malam yang hening ini , Allah kurniakan kepada aku sedikit ruang untuk berbicara dengan kalian melalui dunia maya ini.... Al-fatihah kepada nenek aku yang sangat2 aku sayang ,, yang kembali menghadap Allah pada 22.8.2015 ... (al-fatihah) Semoga beliau tergolong dalam golongan org2 yang diredhai Allah... Dan semoga aku dapat bertemu dengan nya disyurga kekal abadi kelak , insyaAllah.. Ya ! Malam ini ,hati ingin berbicara tentang besar nya jasa nenek aku kepada aku... Terima kasih Allah kerana engkau menghadiahkan aku seorang nenek yang berjaya melahirkan dan mendidik seorang lelaki menjadi seorang ayah yang terbaik didunia ini...

Saat aku bersama mu dihari hari terakhir mu ,, aku sangat tersentuh melihat tangan mu , yang dahulunya kuat , tapi berubah lemah , kedutan ditangan yang sudah mulai kelihatan ,, urat-urat yang dahulunya disembunyikan oleh isi , namun sekarang timbul dek kerana hanya kulit yang tinggal ,,..

Namun , aku tahu , tangan ini lah yang membesarkan ayah ku , tangan ini lah yang menyuap nasi kemulut ayahku , tangan ini lah yang mendidik ayahku sehingga kan ayah ku menjadi seorang insan yang berjaya sekarang , seorang ayah yang terhebat bagi aku , yang dapat mendidik aku menjadi manusia ... Semuanya berkat penat lelah mu nenek ku...

Banyak nasihatnya yang insyaAllah aku takkan lupa antaranya , dia sering berpesan agar aku sentiasa mengamalkan dan menghiasi hari2 ku dengan membaca surah al-ikhlas . Semoga bukan aku sahaja dapat mengamalkannya , malah kamu semua.. teringat sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga Al-Qur’an” (Hadith Riwayat Ahmad dan An Nasai).. Sungguh besar fadilat surah ini bukan?.. Sabda Rasulullah SAW lagi yang berbunyi: “Sesiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga.” Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby)...

Sewaktu hayat nya , beliau sering membaca surah ini , semoga amalan nya diterima dan mendapat ganjaran seperti sabda Nabi Muhammad diatas.... Masih teringat saat dia menghembuskan nafas terakhir nya.... Dia pergi meninggalkan dunia dengan tenang... Wajah nya , sangat bersih kelihatan... Semoga tenang disana nenek ku... Alhamdulillah , kerana Dia menghadiahkan aku seorang nenek yang hebat , terlalu hebat ...

Aku ingin menjadi sepertinya , yang kuat dan tabah mengharungi dugaan hidup... Kisah hidup nya yang sering dikongsi bersama kami cucu2 nya dahulu , menyuntik semangat kami untuk terus teguh menghadapi dugaan hidup , seteguh karang di lautan... Berkat doa dan didikan dari mu, Lahir seorang insan yang sangat berjasa padaku, Nasihat mu akan ku pahat disetiap lembaran hidupku, Agar nanti aku bisa teguh menghadapi rintangan yang beribu...

 Terima kasih nenekku, hargailah sesiapa yang masih mempunyai datuk dan nenek , ambillah nasihat dari nya ,, rapatkan hubungan mu dengan nya , kerana doa mereka sangat berharga ,, dan orng2 dahulu ada mengatakan , orang yang paling rapat hubungan dengan datuk neneknya pasti bertambah kental jiwanya...

 behind a great man there's a great woman ,
 but behind a great father , there's a great grandmother <3

Tuesday 18 August 2015

kita berpijak dibumi siapa ?

Aku hidup didunia milikNya ,
 dunia yang hanya sementara ,
dilengkapi manusia bermacam gaya ,
 dipenuhi iman yg pelbagai tahapnya ,
 diisi dengan nafsu yg pelbagai karenahnya .

Wahai sahabatku ,
 Umur itu hnyalah angka ,
 bukan penentu panjangnya usia ,
sudah cukupkah bekalan pahala ?
 untuk hidup senang disana.

 Sedang aku duduk sendiri ,
 terbayang-bayang nasib diri ,
 kadang , tertanya ku sendiri ,
 nasib apa pula yang menanti.
 Namun apakan daya ,
 telusuri sahaja dugaan yang menimpa ,
 diri ini jahil dan penuh hina ,
 diterimakah aku ke syurgaNya ?

 .. muhasabah diri itu tiada guna , jika tidak dimulakan dengan langkah pertama untuk berhijrah ke arah kebaikan namun , muhasabah itu lebih mulia dari tidak muhasabah langsung... assalamualaikum , jaga diri , jaga iman , jaga hati... <3

Monday 17 August 2015

[cerpen] Keikhlasan yang dipijak

*Ikhlas*
'buat apa tu?' Aisyah terpaku sebentar dek terkejut ditegur Qaniah saat sedang leka mengira wang tabungannya . 
'hmm , tak buat apa pun ,, sedang kira duit ni ,, nak beli hadiah untuk kawan' . 
'owh , nk beli ap? ' soal Qaniah , 
'belum pasti lagi ,, asal cukup wang ni , okayla' ..
 'apa kata Aisyah bagi buku , besar manfaat nya , utk Aisyah dn penerimanya juga' ... 
'okay jugak , tapi buku apa eh? ' ..
 'buku yg brmanfaat la , berlambak diluar sana' ...
'macam mana kalau dy xsuka' ,, 
'Aisyah , org yg tolak ilmu hnya la org yg berasa diri nya cukup segalanya ,, merasa ilmu didadanya sudah penuh , merasa darjat nya sudah tinggi dri org lain , ada ke org macam tu? ' ..Aisyah geleng , mungkin tiada jawapan dibenaknya... 
* dikedai buku *
'Hmm , karya Haji Ahmad Afifi ni okay jugak ,, sesuai utk remaja yg dahaga kan ilmu , sesuai utk dijadikan panduan berhijrah , sesuai utk dijadikan peringatan ,,' ... bisik hati Aisyah ..'eh , tapi cukup ke duit ,, perlu ke beli?' nafsu jahat bersuara ,, 'dengan sahabat jangan berkira , duit belum cukup ,, ikat perut saja la ,, boleh kumpul duit , kan? ' bisik iman yg xpernah mengalah.... 'okay , settle'
hari berganti hari ,, dengan izin Allah ,, Aisyah berjaya menunaikan hajat nya utk membeli sebuah hadiah utk sahabat dunia akhirat nya.... dengan sebuah keikhlasan menggunung , dengan harapan yg disandang agar sahabat nya itu gembira dengn semua ini ,, dia membungkus buku itu dngn berhati-hati... daaannn , siap..!! ... 'uish , penatnya , dh malam rupanya , xsabar nk tunggu esok !' ... hati nya melonjak gembira menanti hari esok....
segalanya berjalan lancar ,, riak wajah Aisyah berseri seri , tapi kenapa nalurinya merasa semacam? ... namun Aisyah menepis rasa tidak enak dngn alunan zikirullah...... 
namun , segalanya , berjalan tidak seperti yg dirancang.... hari itu , hari yg sngt malang... permata jernih gugur satu persatu dri mata Aisyah... kenapa?? kenapa?? .... tibanya Aisyah dirumahnya ,, lantas dipeluknya Qaniah yg tekun mmbaca di meja belajar nya... Qaniah yg bingung mengusap belakang Aisyah dn menyuruhnya utk berwuduk ,, Aisyah lantas menuruti tanpa bnyk soal.... usai menunaikan solat sunat dua rakaat ,, Aisyah membuka lembaran buku hariannya ,, dan menulis sebuah puisi yg tidak seindah puisi penulis terkenal , namun , dngn puisi itu , ianya dpt mereda kan hati Aisyah yg pilu...
* senyumku terukir diwajah sepi ku ini ,
melihat satu beg kecil yang aku kenali ,
terbit debaran dalam hati ,
adakah ia bakal menyakiti ?
lalu ,
dengan debaran aq membongkar isi nya itu ,
dlm hati sudah kujangka apa yg bkal brlaku ,
dan benarlah telahan ku ,
si dia menolak pemberian ikhlasku ,
hati yang berduka ,
disebabkan surat yang tajam dngn kata-kata ,
dihiris dengan pemulangan hadiah yang aku beri kpadanya ,
pemberian yang ikhlas sikit pun tidak dihargainya ,
sakit hati ini ku basuh dengan alunan zikirNya ,
moga tabah menerimanya..
haji ahmad afifi ,
seorang pemuda telah menolak karya mu ,
dia berkata 'aku tidak perlukannya',
mungkin ilmu sudah penuh didadanya ,
atau hanya ad dendam yang membara ,
buku 'mencari cinta al-Khaliq' itu ,
dikembalikan kepadaku ,
yang dahulunya sebagai hadiah kepadanya dariku ,
yang ku beri dengn keikhlasan yang beribu..
hati ,
aku simpati dengan nasib mu ,
aku tidak mengerti bagaimana kau tempuh,
sakit yang kian sembuh ,
mula dicarik carik dan dirempuh ,
moga kau tabah menempuh,
segala duka yang datang menceroboh..
senario ini ,
mengajar aku utk menghargai kebaikan insan lain,
mengajar aq bertapa besarnya erti sebuah keikhlasan ,
kerana apa? 
kerana aku tahu sakitnya apabila sebuah keikhlasan dibalas hinaan ,cacian ,herdikan ..
Ya rabbul izzati ,
kenapa emosi ini sentiasa susah dikawali ,
kenapa stial hari ad saja dugaan menanti ,
dan akal ku tiba2 berinteraksi ,
'setiap hujan diganti pelangi !!'



Kisah diatas dipetik dari lembaran hidup seorang remaja ,, tapi terserah kepada kamu semua untuk menganggap kisah ini adalah kisah aku sendiri atau sebaliknya....yang pasti , ambillah pengajaran darinya ,,, hargai lah sebuah keikhlasan kerana keikhlasan itu datang dari hati bukan kaki....



You might also love this :
[Cerpen] Cinta si sayap kiri

Sunday 16 August 2015

newbie here !

Assalamualaikum ,alhamdulillah , setelah hampir 4 tahun aku mengimpikan untuk menghasilkan sebuah blog sendiri , dan akhirnya berjaya buat dengan bantuan seorang SAHABAT aku (sahabat dunia akhirat) ... aku tidak pandai berpuitis , berbahasa bagai , tapi dengan penulisan aku dapat meluahkan apa yang aku tidak dapat luahkan dengan kata-kata.. izinkan aku berpantun sikit... buah cempedak diluar pagar , ambil galah tolong jolokkan , saya budak baru belajar , kalau salah tolong tunjukkan ... [haha ! cliché betul] okay , see you in the next post , jaga diri , jaga iman , jaga hati...